KUCHING, 4 November 2026 – Dasar transformasi pembangunan Sarawak yang dirangka menerusi Post-COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) yang berpaksikan tadbir urus yang bersih semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Ini sekali gus mencerminkan keyakinan global terhadap hala tuju pembangunan ekonomi negeri yang berteraskan integriti, inovasi, teknologi dan kelestarian, ujar beliau.
Beliau berkata, perkembangan positif itu membuktikan bahawa pendekatan transformasi yang dilaksanakan Sarawak berada pada landasan yang tepat dalam memacu kemajuan negeri ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya saing dan kredibiliti yang tinggi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 hari ini, sambil menegaskan bahawa dasar pembangunan Sarawak kini bukan sahaja mendapat perhatian di peringkat nasional, malah turut menjadi perhatian dalam kalangan pihak berkepentingan antarabangsa.
“Baru-baru ini pihak International Anti-Corruption Academy (IACA) di bawah United Nation diketuai oleh dekannya, Drago Kos yang telah datang menemui saya menyatakan beliau amat tertarik dengan pendekatan Sarawak menangani gejala rasuah dengan memperkenalkan khidmat Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) di jabatan dan agensi kerajaan. Beliau menjemput saya untuk menyampaikan ucaptama di Vienna,” kata beliau.
Menurut beliau, selain pengiktirafan tersebut pihak pelabur tersohor dalam bidang teknologi, iaitu SoftBank juga telah menyatakan mereka juga amat tertarik dengan dasar pendidikan percuma peringkat universiti di Sarawak atau FTES yang mencerminkan komitmen kerajaan GPS untuk membangunkan sumber manusianya.
“SoftBank menyatakan mereka ingin datang untuk melabur di Sarawak bukan hanya kerana kekayaan sumber tenaganya tetapi juga kerana dasar pembangunan bakat kita,” ujar beliau.
Perkembangan tersebut turut memperlihatkan keberkesanan strategi Sarawak dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dengan agenda kemajuan teknologi, inovasi dan peralihan kepada ekonomi hijau serta rendah karbon, selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang negeri.
Justeru, pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu perlu dijadikan pemangkin kepada seluruh jentera perkhidmatan awam Sarawak untuk terus memperkukuh komitmen, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan dilaksanakan secara berkesan.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan merealisasikan aspirasi PCDS 2030 memerlukan kesepaduan usaha, pemikiran progresif dan komitmen berterusan semua penjawat awam agar Sarawak terus maju sebagai sebuah negeri yang berdaya saing, berinovasi dan diiktiraf di persada dunia.